Monday, October 4, 2010

Perkahwinan di Malaysia

  Perkahwinan Masyarakat Melayu

 Pengenalan

     Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting.

Merisik

      Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya.
Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.

Meminang
       
        Setelah tamat tempoh yang diberikan, biasanya 2 hari, namun ada juga yang sampai seminggu, pihak perempuan akan menghantar rombongan yang dihadiri oleh orang tua-tua yang mewakili pihak mereka untuk memberikan jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih untuk melangsungkan perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat dijalankan, pihak lelaki biasanya akan Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan.

      Konsep Menghantar Tanda adalah diertikan sebagai “putus cakap”. Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja, iaitu cincin berbatu intan atau berlian, besarnya mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut., sirih junjung. Semua hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua dulang. Contohnya, jika pihak lelaki memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan membalas 9 dulang. Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju melayu, capal dan kuih-muih.

Pertunangan
        Pertunangan yang dilakukan oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih kecil lagi, dan ini tidak memerlukan penghantaran tanda. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan persahabatan yang erat dan mesra di antara ibu bapa kedua belah pihak dan ikatan itu diharapkan dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara mereka. Pertunangan yang demikian biasanya dihormati dan dilangsungkan sehingga kedua-dua anak itu berkahwin.
        Pertunangan mengikut wasiat salah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal dunia di antara dua buah keluarga. Ini juga tidak memerlukan penghantaran tanda dan biasanya diakhiri dengan ikatan perkahwinan.

Akad Nikah

       Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Upacara ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam.

       Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Pada hari tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan. Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan. Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis.
Upacara berinai akan dijalankan sebelum upacara akad nikah dan bersanding. Dalam majlis tersebut, anak dara itu akan dipakaikan dengan pakaian yang indah-indah, iaitu pakaian pengantin, lalu dibawa duduk di atas pelamin yang terletak di ruang tamu. Anak dara itu akan duduk di hadapan sekumpulan kaum keluarga dan sahabat handai yang biasanya terdiri daripada kaum perempuan. Bagi upacara berinai curi dan berinai kecil, hanya pengantin perempuan sahaja yang akan duduk di atas pelamin dan diinaikan. Pengantin lelaki akan datang ke rumah pengantin perempuan untuk diinaikan pada upacara berinai besar. Dalam upacara tersebut, pengantin perempuan akan diinai terlebih dahulu di atas pelamin.


Majlis Perkahwinan
     
         Sebelum majlis perkahwinan dijalankan, berbagai persiapan akan dijalankan termasuklah mendirikan bangsal penanggah, khemah tetamu, menyiapkan pelamin dan bilik pengantin serta menyediakan bunga telur.Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar raja sehari.
Pada hari tersebut, majlis diadakan secara meriah dengan dihadiri oleh sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Kedua-dua mempelai akan memakai dengan pakaian pengantin, lazimnya baju songket dan dihias indah dengan perhiasannya sekali. Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam sebelum majlis persandingan bermula. Bagi mak andam tradisional, solekan pengantin didahului dengan jampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin dan diberi makan sireh untuk membuang perasaan gemuruh.




Perkahwinan Masyarakat Cina

Pengenalan

           Perkahwinan dalam masyarakat Cina merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi keluarga dan melaluinya keturunan nenek moyang dapat diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Dalam masyarakat Cina, sesuatu perkahwinan itu dirancang dan diatur sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka juga, pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan yang diamalkan oleh mereka iaitu eksplisit iaitu perkahwinan yang diatur samada oleh ibu bapa atau orang tengah (moi-ngin) dan implisit iaitu perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan perempuan diberi kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing. Pada asasnya adat resam perkahwiwan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.

Merisik
          
        Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati. Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama , keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.

Meminang

          Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah. Segala ketetapan yang telah dipersetujui, diberitahu kepada kedua ibu bapa pihak lelaki. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan.. Setelah kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang di jalankan


Bertunang
         
              Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan menghalami kegagalan. Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan . cincin disarung di jari manis kiri oleh kedua-dua bakal pengantin sehingga hari perkahwinan. Bagi membukitkan persetujuan, gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik. Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan mengadakan persediaan. Nyen-sang kepunyaan si gadis pula akan diberi kepada tukang tilik bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya. Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan. Dalam masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin yang diberikan, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.
 
 Majlis Perkahwinan
              
         Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan. 

         Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi. Pada hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang beragama Kristian.







Perkahwinan Masyarakat India 


Merisik

         Dalam peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira. Selalunya maklumat-maklumat ini diperolehi secara langsung dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana taraga akan membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan tersebut telah diambil alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang berdaftar. 



Kunjungan Ke Rumah Pengantin


          Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut ramai.

       Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang datang sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.

      Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat
pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki. 

Kaji Kecocokan Pengantin

      Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai Thairumanam Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan dimanak Hindu. Diantara yang masih diamalkan oleh masyarakat Hindu iaitu Tina poruttam/Natcattira poruttam, Kana poruttam, Mahentira poruttam, Pentiikka poruttam, Yooni poruttam, Raasi poruttam, Raasiyaati paati poruttam, Vaiya poruttam, Racau poruttam dan Veetai poruttam. 

 Ikat Janji
          Ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan.

Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji.
  
Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.




Sebelum Majlis Perkahwinan
Kad Jemputan

         Kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.

Beberapa keping kad jemputan dalam bilangan ganjil akan dibawa bersama ke kuil untuk dibawa bersembahyang (arccanai). Kad diletakkan di atas dulang bersama sirih, wang ringgit, kelapa, pinang dan sebagainya sebagai lambang kekayaan. Upacara ini dinamakan sebagai paanam paaku. Kemudian dulang akan dibawa ke rumah pengantin perempuan untuk diberi kepada pengantin lelaki dan begitulah sebaliknya. Pada masa yang sama sirih pinang akan diberikan sebagai tanda jemputan perkahwinan secara rasmi.
Penyediaan Thaali (Tjrumaanggalyam)

Thaali atau tjirumaangalyam merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan pada leher kedua-dua pengantin. Pada thaali itu diikat segumpal benang putih yang disapu dengan kunyit. Terdapat pelbagai jenis thaali yang digunakan oleh masyarakat India seperti lingath thaali, pottut thaali, tennant thaali dan sebagainya. Ini disebabkan terdapat pelbagai suku di kalangan masyarakat India. Adat penyediaan thaali ini dilakukan tujuh atau sembilan hari sebelum hari perkahwinan. Pihak lelaki akan membawa emas, cendana, kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk pembuat thaali. Ini adalah untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari yang sesuai untuk membuat thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil dan diletakkan di tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali. Pihak pengantin adalah dilarang untuk menawar perkhidmatan yang dilakukan oleh pembuat thaali.

Selepas itu upacara sembahyang dilakukan dan ini dinamakan sebagai thaalippadaiyal. Dalam upacara itu bubur manis dan nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin. Secara umumnya thaali tidak diwajibkan diperbuat daripada emas. Ini kerana thaali masih boleh dibuat daripada kunyit yang dikatakan lebih selamat dan tidak dicuri orang.

Mukuurtta Kaal

          Adat ini dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat mukuurtta kaal ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Batang pokok tersebut berukuran dua atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter.

Adat mendirikan mukuurtta kaal adalah sebagai menandakan perkahwinan akan dilangsungkan di rumah tersebut. Bahan-bahan lazim seperti sirih pinang, kum kum, kunyit dan sebagainya disediakan. Ahli-ahli keluarga pengantin akan bermohon pada Tuhan supaya perkahwinan dapat dilangsungkan tanpa gangguan. Batang kayu diambil dan dibersihkan serta dibuang kulitnya. Lima orang perempuan yang sudah berkahwin akan menyapukan kunyit cair dan kumkum pada batang kayu tersebut dari pangkal hingga hujung. Kemudian hujung kayu diikat dengan daun ara atau mangga menggunakan kain bewarna merah. Kayu akan dipacak sedalam setengah meter dan bahan-bahan tadi akan dimasukkan ke dalam lubang tersebut sebagai lambang kekayaan. Kemudian upacara sembahyang dilakukan oleh pengantin beserta lima orang perempuan tersebut. Sebanyak sembilan jenis bijirin ditabur pada batang kayu dan lampu minyak dinyalakan. Pada masa yang sama pengantin berikrar akan menjaga alam sekitar sebagai lambang persahabatan dengan alam sekitar. Kebiasaannya adat mendirikan mukuurtta kaal dilakukan di rumah pengantin lelaki. 

Upacara Perkahwinan

          Thirumanan bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat. Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu Vaitikat Thairumanam, Tamil Thairumanam dan Diya Thairumanam yang mana perkahwinan ini dijalankan adalah berlandaskan aspek suku kaum.
Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan. Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelumA hari perkahwinan. A

Selepas Majlis Perkahwinan

           Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin. 

Beberapa faktor penting yang diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan untuk mendapat kebahagiaan hidup, antaranya seperti masa yang baik untuk melangsungkan perkahwinan, pengertian thaali, valatu kal, pemberian manisan, hadiah, penghormatan kepada pengantin lelaki, simbol pokok pisang, jamuan perkahwinan dan meroboh khemah perkahwinan .
beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.

Pada hari ketiga selepas perkahwinan, Khemah lazimnya akan dirobohkan. Sebelum khemah dirobohkan, ayam akan disembelih sebagai tanda menunjukkan tamatnya upacara perkahwinan. Namun amalan tersebut tidak lagi dilakukan pada masa kini. Hanya jamuan ringan sahaja yang diberikan kepada mereka yang merobohkan khemah perkahwinan.

Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan dijalankan. Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan kepada para tetamu. Sekiranya jamuan diadakan di dewan, makanan selain dari sayur-sayuran dihidangkan, kecuali daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu. Jamuan tersebut akan turut disertai oleh saudara mara serta sahabat handai.







 


Masyarakat Kaum Iban ( Sarawak )
         Istiadat perkahwinan orang Iban adalah sungguh meriah. Pengantin perempuan akan dipakaikan dengan pakaian yang indah dan berbagai bentuk perhiasan. Dia akan diarak ke rumah pengantin lelaki dengan iringan pukulan alat-alat muzik yang kuat. Mereka percaya bahawa bunyian alat muzik yang kuat akan menghalang alamat-alamat yang tidak baik. Pada malam pengantin, mereka akan masuk tidur awal bagi mengelakkan dari mendengar alamat-alamat yang tidak baik. Di rumah pengantin lelaki, pengantin perempuan harus bangun pagi untuk menumbuk padi kerana ibu mertuanya akan memastikan tiada beras untuk dimasak. Selepas tiga hari mereka akan tinggal dirumah pengantin perempuan pula selama tiga hari juga. Pengantin lelaki akan ditugaskan untuk mencari kayu api.


Upacara minum air tuak

 Masyarakat Kaum Bajau ( Sabah )

            Kaum Bajau mempunyai Adat Istiadat Perkahwinan Kaum Bajau yang tersendiri. Walau bagaimanapun adat istiadat perkahwinan kaum Bajau mempunyai persamaan dengan adat istiadat perkahwinan kaum Melayu.Dalam melakukan majlis perkahwinan, masyarakat Bajau berpegang kepada pantang larang kaumnya. Penetapan hari perkahwinan perlulah dielakkan daripada hari Rabu dan Ahad. Ini kerana kedua-dua hari ini dianggap kurang baik untuk upacara tersebut. Jika ada yang melanggar pantang ini, pengantin akan jatuh sakit dan tidak akan mendapat rezeki yang baik. Pada kebiasaannya mereka akan memilih hari yang ke-14 atau 15 mengikut kalendar Islam, kerana dipercayai ketika itu cahaya bulan terang dan rezeki pengantin baru itu akan menjadi murah.

Bagi kaum Bajau mereka lebih mempercayai perkahwinan yang bersifat monogami daripada poligami. Dalam adat istiadat perkahwinan kaum Bajau, kebanyakan perkahwinan berlaku antara kaum kerabat (saudara-mara) mereka sendiri. Hal ini kerana mereka amat percaya bahawa perkahwinan sesama kaum kerabat sendiri lebih menjamin perkembangan zuriat mereka.

Perkahwinan Bajau tidak pernah melarang perkahwinan dengan orang luar dari kerabat mereka, namun mereka lebih cenderung untuk berkahwin dengan kaum kerabat (yang jauh) sendiri. Pun begitu, mereka tidak boleh mengahwini mereka yang mempunyai ikatan akrab atau muhrim. Jika perkahwinan
berlaku dengan muhrim sendiri, maka perkahwinan itu dianggap sumbang dan ?anas?serta akan mendatangkan sial.

Masyarakat Bajau amat teliti dengan perlaksanaan sesuatu majlis perkahwinan. Mereka percaya bahawa perkahwinan tidak boleh dilakukan dengan sambil lewa, sebaliknya dilaksanakan dengan tuntutan adat dan agama. Suatu ketika dahulu, majlis perkahwinan Bajau berlangsung selama satu hari, satu malam. Sebaliknya pada ketika ini, majlis berlangsung selama dua hari satu malam.

Pada hari pertama, majlis disambut meriah pada waktu petang dan malam. Sambutan ini disambut secara maglami-lami (beramai-ramai). Dalam majlis ini, kaum kerabat dan tetamu akan berkumpul untuk menjamu selera (bagi memperingati nenek moyang mereka yang telah meninggal dunia) dan menyaksikan beberapa jenis hiburan yang disediakan oleh pihak pengantin perempuan. Dalam jamuan memperingati nenek moyang, mereka akan berzikir bersama tetamu yang lain dan biasanya nasi kunyit bersama lauknya dan kuih panyam disediakan.

Pada hari kedua pula, upacara dimulakan dengan pukulan titik diallau, iaitu pukulan tagungguk khas. Biasanya pukulan itu dibuat pada pukul lima pagi (sebelum subuh), bagi mengingatkan penduduk setempat, akan majlis perkahwinan mereka. Setelah bersarapan lebih kurang pada pukul lapan pagi, kedua-dua pengantin akan dimandikan oleh ahli-ahli agama di rumah masing-masing diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci sebagai doa selamat bagi mereka. Setelah dimandikan pengantin lelaki akan diarak dengan menaiki kuda ke rumah pengantin perempuan atau ke masjid untuk majlis akad nikah. Setelah itu pengantin lelaki akan didukung oleh dua orang lelaki masuk ke dalam rumah pengantin perempuan atau masjid, di mana akan berlangsungnya majlis akad nikah. Proses akad nikah yang dilakukan oleh kaum Bajau adalah sama seperti adat perkahwinan Melayu, iaitu sebelum dinikahkan imam akan membacakan khutbah nikah.

Setelah selesai upacara pernikahan, pengantin lelaki akan diberikan sehelai kain selendang dan dipimpin oleh pengapitnya ke pelamin. Dalam tempoh itu, pengantin lelaki diiringi oleh pukulan tagungguk dan nyanyian jam-jam. Apabila rombongan pihak lelaki semakin hampir, pihak perempuan akan menurunkan tirai di hadapan pelamin untuk melindungi pengantin perempuan daripada penglihatan pengantin lelaki.
Beberapa syarat dikenakan kepada pengantin lelaki jika ingin melihat pengantin perempuan di sebalik tirai itu. Jika pihak pengantin perempuan menutup pintu, maka pihak pengantin lelaki perlulah membayar wang tebus pintu atau dipanggil kaukaban lawang. Biasanya pengantin perempuan akan duduk dipelamin dan menunggu suaminya di sebalik tiga lapis tirai. Tirai itu perlulah dibuka selapis demi selapis dengan disertai magjam-jam. Setiap tirai hanya akan dibuka sebaik sahaja pengantin lelaki membayar wang tebus sebanyak mana yang difikirkan patut.

Setelah tirai yang terakhir dibuka, pengantin lelaki perlulah memutarkan kain selendang yang diberikan kepadanya selepas majlis akad nikah tadi, sebanyak tiga pusingan di atas kepala pengantin perempuan. Kemudian, pengantin lelaki tadi perlulah menyentuh dahi pengantin perempuan dengan ibu jari tangan kanannya. Proses ini dikenali sebagai tutukan yang sama seperti proses membatalkan air sembahyang dalam perkahwinan Melayu.

Selepas majlis persandingan, pengantin lelaki akan terus tinggal di rumah pengantin perempuan selama tiga malam. Dalam tempoh itu, ahli-ahli agama akan bergilir-gilir memberikan nasihat tentang rukun berumahtangga, persefahaman suami isteri dan lain-lain nasihat yang dirasakan perlu. Setelah tiga malam ibu bapa pengantin lelaki akan datang dan meminta izin dari besannya untuk menjemput pasangan pengantin baru itu berpindah ke rumah mereka. Perpindahan itu dikenali sebagai tingkuang. Pasangan pengantin baru itu kemudiannya boleh terus tinggal di rumah pengantin lelaki buat selama-lamanya, jika mereka mahu. 


Rujukan :


- http://ms.wikipedia.org/wiki/Laman_Utama
 
- http://malaysiana.pnm.my/01/01020204cna_kahwin.htm

- http://malaysiana.pnm.my/01/01010201mel_merisik.htm














No comments:

Post a Comment